Mesyuarat Jemaah Menteri pada 3 November 1999 yang membincangkan Belanjawan 2000 telah memutuskan supaya Kementerian Pendidikan membuat kajian mengenai model dan konsep komuniti yang sesuai untuk diwujudkan di setiap kawasan Parlimen diseluruh negara. Asas pertimbangan penubuhan Kolej Komuniti ialah untuk menyediakan peluang alternatif kepada lepasan menengah yang tidak berpeluang melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi. Kolej Komuniti juga akan membuka peluang kepada pekerja dan komuniti setempat untuk mendapat pendidikan dan latihan kemahiran yang lebih terancang.

Jemaah Menteri pada 5hb Julai 2000 telah mempertimbangkan memorandum daripada Menteri Pendidikan No.398/2225/00 tentang konsep penubuhan dan perlaksanaan Kolej Komuniti di setiap kawasan parlimen. Penubuhan dan pelaksanaan Kolej Komuniti bertujuan memberi peluang pendidikan dan latihan khusus kepada masyarakat setempat untul meningkat kemahiran dan pengetahuan serta taraf sosio ekonomi melalui program pendidikan sepanjang hayat yang fleksibel dan mudah akses.

Kolej Komuniti juga memainkan peranan dalam memenuhi kehendak sosial dan keperluan tenaga manusia selaras dengan dasar kerajaan untuk melahirkan lebih ramai golongan pekerja mahir demi merealisasikan matlamat wawasan 2020.